Saturday, 9 November 2013

Sasaran baharu Maznah

KUALA LUMPUR 4 Sept. Syarikat kawalan keselamatan tempatan bertaraf dunia, Securiforce Sdn. Bhd., (Kumpulan Securiforce) merancang meluaskan empayar perniagaannya ke Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah tidak lama lagi.

Perluasan ke negara-negara itu yang akan dilakukan dengan rakan kongsi asing melibatkan bidang logistik dan perkhidmatan penghantaran kargo.

Ketika ini, Securiforce beroperasi sepenuhnya di Singapura, Thailand, China, Vietnam, Hong Kong, Korea, Indonesia dan Turki selain mempunyai pejabat perwakilan di Jerman, United Kingdom dan AS.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Maznah Hamid berkata, pihaknya dalam proses mengenal pasti rakan kongsi berpotensi di AS dan negara negara Eropah.

Jelas Maznah, hasrat tersebut wujud di atas keinginan menyahut cabaran pelanggan untuk memberikan perkhidmatan logistik secara menyeluruh ke seluruh dunia.

Securiforce dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sentiasa mengintai peluang untuk meneroka bidang perniagaan logistik di luar negara.

Pembukaan operasi di luar negara diutamakan di negara-negara yang terdapat syarikat-syarikat dari Malaysia yang menjalankan operasi perniagaan di sana,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Securiforce ditubuhkan pada 1981 dan kini mempunyai 5,000 kakitangan termasuk 4,000 pengawal keselamatan.
Syarikat itu kini mempunyai 65 buah cawangan di dalam dan di luar negara dengan 60 peratus profil pelanggan adalah institusi kewangan diikuti syarikat-syarikat multinasional dari AS dan Eropah, kediaman kenamaan (VIP) dan pejabat kedutaan asing.

Syarikat berkenaan juga berpengalaman dalam memberi perkhidmatan logistik dan pengangkutan kepada lebih 30 syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.

Securiforce juga mempunyai gudang penyimpanan yang mempunyai sistem keselamatan berteknologi tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Singapura dan Thailand yang kerap kali digunakan para pelanggan.

Maznah menambah, bagi menjayakan hasrat untuk melebarkan perniagaan di AS dan negara-negara Eropah, pihaknya kini dalam proses meneliti prospek dan kajian kebolehlaksanaan (feasibility) perniagaan di negara terbabit.

Kumpulan Securiforce mahu membuktikan bahawa syarikat Malaysia juga berkeupayaan untuk bersaing di peringkat sejagat selain memastikan usaha itu mewujudkan situasi menang-menang,’’ ujarnya.

Menurut Maznah, Securiforce adalah syarikat bumiputera tunggal di Malaysia dan di Asia menawarkan khidmat logistik keselamatan bersepadu kepada pengeluar barangan elektronik bernilai tinggi di sejak tahun 1994.

Securiforce turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan barangan bernilai tinggi yang menggunakan lori kalis peluru (Armoured Truck) yang dilengkapi dengan pengawal bersenjata api, GPS, sistem penggera dan sistem pengunci elektronik,’’ katanya.

Mengulas lanjut Maznah berkata, Securiforce juga menyediakan sistem kawalan keselamatan elektronik berkomputer dan membekal serta menjual peralatan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan membina kenderaan kalis peluru sendiri.

Beliau menambah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan minat untuk mendapatkan sistem keselamatan yang ditawarkan syarikatnya dan permintaan itu masih di peringkat pertimbangan.

‘’Kami perlu lebih berhati-hati dalam menjalankan perniagaan di Asia Barat dan perlu menilai terma serta syarat yang akan dikenakan.

Selain itu, kajian sikap dan tanggungjawab rakan niaga di UAE perlu bagi menjamin kestabilan perniagaan Securiforce di negara tersebut,’’ ujarnya.

Ditanya sama ada syarikat itu berminat mengapungkan sahamnya di Bursa Malaysia, Maznah berkata, mengikut keupayaan, Securiforce layak disenaraikan ke Papan Utama Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau, ia tidak dilakukan untuk menjamin perniagaan warisan keluarga itu.



By Azman Ibrahim
5/9/2011
Retrieved from: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm

No comments:

Post a Comment