KUALA LUMPUR 4 Sept.
Syarikat kawalan keselamatan tempatan bertaraf dunia, Securiforce Sdn. Bhd.,
(Kumpulan Securiforce) merancang meluaskan empayar perniagaannya ke Amerika
Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah tidak lama lagi.
Perluasan ke negara-negara itu yang
akan dilakukan dengan rakan kongsi asing melibatkan bidang logistik dan
perkhidmatan penghantaran kargo.
Ketika ini, Securiforce beroperasi
sepenuhnya di Singapura, Thailand, China, Vietnam, Hong Kong, Korea, Indonesia
dan Turki selain mempunyai pejabat perwakilan di Jerman, United Kingdom dan AS.
Pengerusi Eksekutif Kumpulannya,
Datuk Maznah Hamid berkata, pihaknya dalam proses mengenal pasti rakan kongsi
berpotensi di AS dan negara negara Eropah.
Jelas Maznah, hasrat tersebut wujud
di atas keinginan menyahut cabaran pelanggan untuk memberikan perkhidmatan
logistik secara menyeluruh ke seluruh dunia.
Securiforce dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sentiasa mengintai peluang untuk meneroka
bidang perniagaan logistik di luar negara.
Pembukaan operasi di luar negara diutamakan di negara-negara
yang terdapat syarikat-syarikat dari Malaysia yang menjalankan operasi
perniagaan di sana, katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Securiforce ditubuhkan pada 1981 dan
kini mempunyai 5,000 kakitangan termasuk 4,000 pengawal keselamatan.
Syarikat itu kini mempunyai 65 buah
cawangan di dalam dan di luar negara dengan 60 peratus profil pelanggan adalah
institusi kewangan diikuti syarikat-syarikat multinasional dari AS dan Eropah,
kediaman kenamaan (VIP) dan pejabat kedutaan asing.
Syarikat berkenaan juga
berpengalaman dalam memberi perkhidmatan logistik dan pengangkutan kepada lebih
30 syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.
Securiforce juga mempunyai gudang penyimpanan
yang mempunyai sistem keselamatan berteknologi tinggi di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Singapura dan Thailand yang
kerap kali digunakan para pelanggan.
Maznah menambah, bagi menjayakan
hasrat untuk melebarkan perniagaan di AS dan negara-negara Eropah, pihaknya
kini dalam proses meneliti prospek dan kajian kebolehlaksanaan (feasibility)
perniagaan di negara terbabit.
Kumpulan Securiforce mahu membuktikan bahawa syarikat
Malaysia juga berkeupayaan untuk bersaing di peringkat sejagat selain
memastikan usaha itu mewujudkan situasi menang-menang,
ujarnya.
Menurut Maznah, Securiforce adalah
syarikat bumiputera tunggal di Malaysia dan di Asia menawarkan khidmat logistik
keselamatan bersepadu kepada pengeluar barangan elektronik bernilai tinggi di
sejak tahun 1994.
Securiforce turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan
barangan bernilai tinggi yang menggunakan lori kalis peluru (Armoured Truck)
yang dilengkapi dengan pengawal bersenjata api, GPS, sistem penggera dan sistem
pengunci elektronik, katanya.
Mengulas lanjut Maznah berkata,
Securiforce juga menyediakan sistem kawalan keselamatan elektronik berkomputer
dan membekal serta menjual peralatan keselamatan seperti kamera litar tertutup
(CCTV) dan membina kenderaan kalis peluru sendiri.
Beliau menambah, Emiriyah Arab
Bersatu (UAE) menyatakan minat untuk mendapatkan sistem keselamatan yang
ditawarkan syarikatnya dan permintaan itu masih di peringkat pertimbangan.
Kami perlu lebih berhati-hati dalam menjalankan perniagaan
di Asia Barat dan perlu menilai terma serta syarat yang akan dikenakan.
Selain itu, kajian sikap dan tanggungjawab rakan niaga di
UAE perlu bagi menjamin kestabilan perniagaan Securiforce di negara tersebut,
ujarnya.
Ditanya sama ada syarikat itu
berminat mengapungkan sahamnya di Bursa Malaysia, Maznah berkata, mengikut
keupayaan, Securiforce layak disenaraikan ke Papan Utama Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, kata beliau, ia tidak
dilakukan untuk menjamin perniagaan warisan keluarga itu.
By Azman Ibrahim
5/9/2011
Retrieved from: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm